|

Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ)

Image
  • Penempatan bagi pelajar perempuan
  • Maklumat untuk dihubungi :-
    • Alamat: Lot 1120, Jalan Tebing Tinggi, 75450 Bukit Katil, Melaka
    • No. Telefon:  06-267 2753
  • Kapasiti penghuni boleh memuatkan sehingga seramai 80 orang pelajar dalam satu masa.
BORANG PERMOHONAN KAYFAZ
SEJARAH PEMBENTUKAN KAYFAZ
PENGENALAN 

PERANAN MAJLIS AGAMA ISLAM MELAKA (MAIM) DALAM PENTADBIRAN INSTITUSI KEBAJIKAN ANAK YATIM/MISKIN NEGERI MELAKA: RAYSAS DAN KAYFAZ

Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebagai badan berautoriti dalam hal ehwal Islam di negeri Melaka dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kebajikan umat Islam termasuk aspek zakat, wakaf, pendidikan Islam dan penjagaan golongan asnaf. Selaras dengan tanggungjawab tersebut, MAIM memainkan peranan utama dalam mentadbir dua institusi anak yatim negeri ini iaitu Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj (RAYSAS) bersama Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Pantai Puteri, Melaka, dan Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) bersama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perhubungan Negeri Melaka (LKPIM PNM). Kedua-dua institusi ini diletakkan di bawah pentadbiran MAIM bagi memastikan pengurusan kebajikan anak-anak yatim dan miskin dilakukan secara tersusun, berlandaskan prinsip syariah, serta mendapat jaminan dana berterusan melalui agihan zakat Asnaf Fisabilillah. Keberadaan MAIM sebagai penaung rasmi memberi kredibiliti, kestabilan pentadbiran dan jaminan kebajikan jangka panjang kepada anak-anak yatim di negeri Melaka

SEJARAH PENUBUHAN 

Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) adalah lambang cinta dan pengorbanan sebuah perjuangan yang berakar daripada kasih sayang, simpati dan keprihatinan terhadap nasib anak-anak yatim dan miskin di negeri Melaka. Penubuhannya diasaskan oleh seorang tokoh wanita yang luhur budi dan tinggi azamnya, Puan Sri Datuk Hajah Zabedah binti Abdullah, selaku Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), Cawangan Perkim Negeri Melaka (PNM).

Dengan iltizam yang tidak pernah luntur, beliau mengilhamkan penubuhan sebuah kompleks kebajikan yang dapat menyediakan bukan sahaja tempat berlindung, tetapi juga persekitaran yang membina akhlak, sahsiah dan masa depan anak-anak yatim perempuan di negeri ini.

 

1993: Tanah Wakaf, Asas kepada Harapan

Segala usaha murni ini mula terbina apabila Puan Hajah Che Mah binti Hitam dengan penuh keikhlasan telah mewakafkan sebidang tanah seluas 3.5 ekar di Lot 1120, Mukim Bukit Katil, Melaka kepada LKPIM PNM. Tanah ini menjadi titik mula kepada impian besar membangunkan sebuah rumah anak yatim yang lengkap dan terurus.

 

1995: Permulaan Pembinaan dan Ujian Ketabahan

Dengan semangat berkobar-kobar, LKPIM PNM telah memulakan projek pembinaan sebuah asrama tiga tingkat di tapak tersebut. Sebuah Tabung Anak-Anak Yatim dan Miskin turut diwujudkan bagi menggerakkan kutipan dana.

Namun, kekangan kewangan menjadi cabaran utama. Projek terpaksa ditangguhkan buat seketika. Walaupun dihimpit kesukaran, semangat perjuangan ahli-ahli LKPIM tidak pernah luntur. Pelbagai aktiviti amal, kempen kutipan derma dan kolaborasi diadakan di seluruh cawangan negeri. Hasilnya, dengan bantuan individu perseorangan dan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, pembinaan berjaya diteruskan dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.2 juta.

 

1998: Batu Asas Sebuah Amanah

Pada tahun 1998, impian ini semakin hampir menjadi kenyataan apabila Majlis Meletak Batu Asas telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Syed Ahmad Al-Haj bin Syed Mahmud Shahabudin, Yang di-Pertua Negeri Melaka ketika itu. Batu asas itu bukan sekadar simbol fizikal, tetapi menjadi asas amanah kepada generasi yang kehilangan tempat bergantung.

 

2004: Bangunan Siap, Harapan Menyala

Setelah hampir satu dekad berjuang, pada 15 Mac 2004, bangunan Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ) siap sepenuhnya. Ia berdiri megah bukan kerana batu-bata dan simen semata-mata, tetapi kerana keringat, air mata dan doa yang tidak putus-putus demi anak-anak yang memerlukan.

 

2005: Pengiktirafan dan Kerjasama Rasmi

Pada 27 Oktober 2005, KAYFAZ memperoleh Sijil Kesempurnaan Menduduki (CF) daripada pihak berkuasa tempatan, menandakan bangunan ini selamat dan sah digunakan secara rasmi.

Tahun yang sama, kerjasama strategik dimeterai bersama Kerajaan Negeri Melaka melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), bagi mentadbir operasi asrama dan menyelenggara kebajikan anak-anak yatim dan miskin yang menghuni KAYFAZ.

 

2006: Perasmian dan Langkah Baharu

Pada 16 Mac 2006, Majlis Perasmian KAYFAZ telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Khalil bin Yaakob, Yang di-Pertua Negeri Melaka. Seramai 32 orang pelajar perempuan dari kalangan anak-anak yatim dan miskin negeri Melaka telah menjadi kumpulan penghuni pertama yang diraikan dalam suasana penuh kasih dan harapan.

 

2008: Ziarah Diraja, Pengiktirafan Tertinggi

Pada 12 April 2008, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli mengadakan lawatan ke KAYFAZ. Kunjungan ini merupakan suatu penghargaan yang amat bermakna, menyuntik semangat kepada warga pengurusan dan penghuni untuk terus melangkah maju.

 

2015: Jaminan Masa Depan Tanah Wakaf

Sebagai langkah memperkukuh keabsahan pemilikan dan pentadbiran tanah wakaf, pada 16 Disember 2015, LKPIM PNM telah menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah dengan MAIM, menjadikan Majlis Agama Islam Melaka sebagai pemegang amanah rasmi kepada institusi ini.

PENUTUP : CINTA YANG TIDAK BERTEPI
Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah bukanlah sekadar sebuah bangunan. Ia adalah rumah harapan, pusat kasih sayang dan medan perubahan nasib anak-anak yatim dan miskin perempuan yang pernah kehilangan tempat bergantung. Dari sekeping tanah wakaf kepada sebuah institusi yang terurus, KAYFAZ berdiri sebagai bukti bahawa cinta yang ikhlas, walaupun bermula dari jiwa seorang insan, mampu menyentuh dan mengubah kehidupan generasi yang mendatang.
KEMUDAHAN / BANTUAN YANG DISEDIAKAN
i. Kemudahan penginapan asrama yang selesa dan selamat
  • Dorm (4 hingga 8 orang)
  • Locker untuk setiap pelajar
  • Tandas yang bersih dan selesa
ii. Makanan dan minuman disediakan dan berjadual sebanyak lima (5) kali sehari
  • Dewan makan yang besar dan selesa
  • Menu makanan mengikut garis panduan yang disediakan oleh KPM.
iii. Pelajaran dan pembelajaran di asrama
  • Kelas tuisyen, kelas halaqah, kelas mengaji disediakan di asrama secara berjadual.
  • Tenaga pengajar akan datang ke asrama untuk mengajar bagi setiap sesi.
  • Pemantauan bagi tahap pembelajaran pelajar dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi setiap pelajar.
iv. Penempatan persekolahan diuruskan sepenuhnya oleh pihak asrama
  • KAYFAZ
    Sekolah RendahSekolah Menengah
    SK Seri Duyong SMK Bukit Katil
  • RAYSS
    Sekolah RendahSekolah Menengah
    SK Pantai Kundor SMK Seri Tanjong
v. Keperluan persekolahan disediakan sepenuhnya oleh pihak asrama
  • Pakaian sekolah
  • Beg sekolah
  • Alat tulis
  • Yuran
  • Buku
  • Wang saku sekolah setiap hari
  • Pengangkutan ke sekolah
vi. Keperluan Perayaan (Hari Raya Aidilfitri) disediakan sepenuhnya oleh pihak asrama untuk setiap pelajar
  • Baju Raya
  • Keperluan / bahan mentah untuk hari raya pertama
  • Wang saku (Duit Raya)
vii. Aktiviti-aktiviti untuk mengisi masa lapang setiap pelajar sentiasa diadakan supaya pelajar dapat melakukan perkara berfaedah pada setiap masa
  • Program bersama pelbagai agensi dan NGO
  • Kelas-kelas kemahiran seperti kelas mempertahankan diri, kelas memasak, menjahit.
  • Pertandingan sukan, bola sepak, futsal, bola jarring dan sebagainya.
  • Motivasi pelajar.
  • Hari bersama pelanggan untuk bertemu penjaga bagi membincangkan perkembangan pelajar.

Hubungi Kami

Majlis Agama Islam Melaka,
Pusat Islam Melaka,
Bukit Palah, 75400,
Melaka, MALAYSIA.

G : 2.21462, 102.26442

T : +606 283 7416 / 283 2077 / 284 9809
F : +606 282 6033
E : admin[at]maim[dot]gov[dot]my

Ikuti Kami

Kemaskini Terkini

  • Pada Rabu 26 November 2025, 02:09:42.

Jumlah Pelawat

003966448
Today: 1
Yesterday: 2
This Week: 991
This Month: 7,222
This Year: 134,308

PENAFIAN : Pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tidak akan bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada ataupun syarikat yang disyorkan oleh MAIM. 

Paparan terbaik dengan resolusi 1366 x 768 piksel dengan pelayar popular seperti Google Chrome, Microsoft Edge, Mozilla Firefox, Safari & Opera. 

Portal Rasmi Majlis Agama Islam Melaka

MyGov Portal

privasi

MELAKAPAY
Cik Iman
Tanya Cik Iman
Kadang-kadang jawapan Cik Iman mungkin tidak tepat.
Sentiasa semak fakta.
Tanya Cik Iman
Buka chat